PRU13 telah berlalu. DAP (Democracy Action Party), parti berbilang kaum yang sebenarnya didominasi kaum Cina, telah mencapai kejayaan yang besar, kejayaan terbaik mereka dalam sejarah Malaysia. 51 buah kerusi parlimen ditandingi mereka, 38 buah daripada kerusi tersebut telah berjaya mereka menangi. Pulau Pinang kekal di bawah penguasaan DAP. Suatu pencapaian yang gemilang sebagai sebuah parti yang dikenali mewakili kaum Cina yang minoriti.
DAP adalah sebuah parti yang pragmatik dan progresif. Apabila Barisan Nasional cuba menakutkan rakyat dengan mendakwa DAP akan menguasai negara yang dihuni majoriti kaum Melayu ini, mereka telah memperlihatkan kepada rakyat Malaysia bahawa hanya 51 buah kerusi yang ditandingi mereka, maka tidak mungkin mereka akan menguasai negara ini, berbanding PKR 99, dan PAS 73.
Kepada yang tidak mahu berfikir lebih lanjut, itu adalah benar. Tidak mungkin DAP akan berkuasa dengan hanya 51 buah kerusi.
Kaum Melayu di dalam PAS telah terkeliru dan tertipu dengan permainan licik ini. Inilah yang dijadikan hujah yang zahirnya kelihatan rasional oleh pemimpin PAS untuk menjawab kepada kaum Melayu, yang dihasut dan diapi-apikan oleh UMNO, bahawa DAP tidak akan menguasai negara ini.
DAP telah mengukur baju di badan mereka sendiri dengan saiz yang tepat. Untuk apa bertanding di kawasan yang belum pasti dimenangi, malah bertanding di banyak buah kerusi hanya akan menimbulkan kecurigaan dan syak-wasangka kepada DAP oleh kaum Melayu. Bertanding di kerusi parlimen yang sedikit ini memberi gambaran kepada kaum Melayu bahawa DAP tidak akan berjaya menguasai Malaysia, walaupun mereka menang kesemua kerusi ditandingi mereka.
Hakikat di sebaliknya, berkerjasama dengan PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat, DAP telah melakukan percaturan yang terbaik untuk masa depan dan politik kaum Cina.
Tanpa sokongan undi orang-orang Melayu, DAP tidak mungkin memenangi banyak kerusi seperti PRU-PRU sebelum ini. Tidak dapat tidak, kerjasama dengan PAS dan PKR mestilah diteruskan oleh mereka.
PKR adalah parti sekular seperti UMNO atau DAP sendiri. Masalah utama DAP adalah PAS, malah PAS adalah musuh sebenar mereka jika dilihat dari sudut dasar-dasar parti. PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan dasar-dasar agama Islam yang bertentangan dengan sekular, iaitu memisahkan urusan agama daripada kerajaan.
Bagaimanakah DAP mengatasi situasi yang kompleks ini?
Dengan membangkitkan isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan wang rakyat, pembaziran, kerakusan pemimpin Barisan Nasional mengumpul harta, DAP menjadikan isu-isu ini sebagai titik persamaan perjuangan mereka bersama PKR dan PAS. DAP dengan bijak sekali berjaya menyisihkan perbezaan dasar-dasar mereka dengan PAS, dengan membangkitkan isu-isu salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah pihak kerajaan Barisan Nasional.
DAP sebenarnya dipimpin oleh politikus-politikus yang realistik dan strategik. Mereka tidak mengangankan sesuatu yang tidak mungkin akan dicapai mereka, misalnya menjadi Perdana Menteri, atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia, setidak-tidaknya dalam masa terdekat ini. Mereka pragmatik, pratikal dan rasional. Tidak seperti pemimpin-pemimpin PAS yang tidak menyedari realiti sebenar, yang hanya sibuk mengejar dan mengutamakan jalan ke Putrajaya.
Walaupun dasar-dasar sekular DAP bertentangan dengan dasar-dasar PAS, ajaibnya DAP telah tetap bersama dengan PAS, dengan PKR menjadi jambatan penyambungnya. Selama ini DAP telah berusaha habis-habisan untuk menyakinkan tindakan mereka bersama PAS kepada orang-orang Cina. Tidak mungkin mereka berpatah balik. Malah pemimpin-pemimpin PASlah yang selalu menolong membersihkan imej rasis DAP dalam kalangan masyarakat Melayu apabila dibangkitkan pemimpin-pemimpin UMNO.
Sekali lagi harus diketahui, DAP menyedari situasi parti mereka. Mereka tahu mengukur baju di badan mereka sendiri.
Sebaliknya jika Pakatan Rakyat ditakdirkan memerintah Malaysia selepas PRU13, ia sebenarnya malapetaka besar kepada Pakatan Rakyat, terutamanya DAP. Kenapa?
Kepada PAS, mereka mungkin tidak berfikir perkara-perkara ini. Ulama-ulama PAS jauh sekali untuk memikirkan perkara-perkara ini. Mereka lebih banyak bersangka baik bahawa DAP telah bertoleransi menerima hukum hudud dan sebagainya yang diperjuangkan PAS.
Kemungkinan akan berlaku perbalahan dan perpecahan sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 adalah hampir pasti. Perkara ini memang disedari oleh pemimpin-pemimpin DAP. Mereka seboleh-bolehnya tidak mahu PAS menang besar, sesuatu yang PAS sendiri tidak sedari. Selepas peristiwa 13 Mei, memang tidak ada lagi unsur-unsur politik perkauman secara jelas dalam politik Malaysia. Perkara ini berjaya dielakkan kerana, apabila UMNO mengkritik DAP yang kononnya rasis, PAS akan membelanya, dan sebaliknya apabila PAS mengkritik MCA yang rasis, UMNO yang akan muncul membelanya. DAP berjaya menjadikan Melayu sesama Melayu bergaduh mempertahan kaum Cina tanpa disedari.
Maka, jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah, tidak dapat tidak, Pakatan Rakyat akan terbubar secara automatik kerana dasar-dasar parti yang berbeza ini, malah kesepakatan mereka hanyalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional.
Mereka tidak pernah membincangkan bagaimana negara ini akan diperintah, kecuali mereka hanya berpakat merancang bagaimana untuk menjatuhkan Barisan Nasional. Kabinet bayangan kerajaan Pakatan Rakyat pula tidak pernah mereka wujudkan, hanya jawatan Perdana Menteri yang telah mereka setujui bersama, iaitu Anwar Ibrahim.
Kekacauan akan berlaku, lebih-lebih lagi jika saki-baki UMNO yang kalah akan menghasut rakyat bangkit mempersoalkan kenapa PAS tidak melaksanakan hukum hudud seperti yang diperjuangkan mereka selama ini. Jika ini terjadi, huru-hara dan kacau-bilau perkauman akan berlaku, dan ketika itu kaum Melayu akan sedar dan akan bersatu menentang kaum Cina di bawah DAP.
Itulah ketakutan utama DAP.
Kaum Cina adalah kaum yang mesra perniagaan, malah korporat-korporat kaum Cinalah yang banyak menyumbang dana kewangan kepada DAP, dan dalam fikiran mereka, PAS adalah sebuah parti agama yang ekstrem, yang akan menyusahkan perniagaan mereka, terutamanya dalam perniagaan arak, judi, premis hiburan, dan sebagainya, yang dimonopoli kaum Cina.
Kepada DAP, hasrat terbesar mereka sebenarnya, mereka hanyalah mahu menyatukan orang-orang Cina, untuk menguatkan suara mereka dalam negara ini di bawah DAP. Menakluki Putrajaya tidaklah penting kepada mereka, setidak-tidaknya dalam masa terdekat ini. Ia bukanlah sasaran utama mereka. Cukuplah sasaran untuk mereka kaum Cina bersatu. Jika mereka bersatu, tidak dapat tidak, mereka adalah bata-bata terakhir untuk membentuk sesebuah kerajaan.
Tanpa mereka, kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan terbentuk jika mereka menang PRU13. Ini berbeza dengan UMNO, jika UMNO menang tanpa MCA atau MIC, mereka masih boleh membentuk kerajaan dengan sokongan kuat kerusi parti-parti bumiputera di Sabah dan Sarawak yang masih bersama Barisan Nasional.
Yang pastinya, apabila kaum Cina bersatu-padu di bawah DAP, mereka akan kuat, dan parti mana pun yang bakal membentuk kerajaan, hampir pasti akan tunduk kepada mereka.
Apabila PRU semakin dekat, DAP telah berjaya menghantar suatu mesej tersirat kepada kaum Cina agar jangan mengundi PAS di kawasan PAS bertembung dengan UMNO. Ia berlaku ketika isu hukum hudud ditimbulkan kembali dalam masa minggu-minggu terakhir berhadapan PRU13, dan pemimpin-pemimpin DAP yang bijak, dengan tegasnya menentang hukum hudud ini, malah ada sesetengah pemimpin-pemimpin DAP secara terbuka dan berani menggesa kaum Cina menolak PAS.
Pemimpin-pemimpin PAS yang kurang memahami strategi ini hanya mampu mengugut dengan angkuh bahawa DAP memerlukan undi kaum Melayu yang bersama PAS. Jelasnya, mereka tidak menyedari strategi dan permainan DAP ini. Mereka hanya menganggap itu hanya suara pinggiran pemimpin DAP, walhal itu mewakili suara sebenar DAP.
Hakikatnya, penentangan dan ketegasan DAP yang padu ini telah menyakinkan kaum Cina supaya terus menyokong DAP kerana Pakatan Rakyat jelas tidak akan tunduk kepada dasar-dasar PAS jika mereka membentuk kerajaan baru, malah mereka ini telah menolak PAS dalam PRU13.
Kebijaksanaan pemimpin-pemimpin DAP ini terserlah. Walaupun tahu tindakan ini memberi risiko besar kepada kemungkinan kaum Melayu tidak akan memberi undi kepada DAP, mereka tahu kebencian kaum Melayu kepada UMNO akan membuatkan Melayu-Melayu, yang tidak sedar sedang diperkuda DAP ini, akan tetap memberi undi kepada DAP jika DAP bertembung dengan MCA (DAP hampir tidak bertembung dengan UMNO dalam satu-satu kawasan PRU, kecuali Gelang Patah dan Wangsa Maju).
Hakikat sebaliknya, di kawasan-kawasan UMNO bertembung PAS, kaum Cina telah menolak PAS dan memilih UMNO. Itulah yang telah terjadi dalam PRU13.
Dalam situasi sekarang, DAP sedang menikmati keadaan yang selesa, berjaya menyatukan kaum Cina di bawah mereka, dan sama sekali menggagalkan usaha PAS menggantikan UMNO sebagai parti tonggak dalam kalangan masyarakat Melayu.
Sama ada selepas ini DAP akan menyertai kerajaan Barisan Nasional ataupun tidak, mereka telah bangkit menjadi kuasa yang besar dalam politik Malaysia. Walaupun mungkin tidak ada suara mewakili kaum Cina dalam kerajaan Barisan Nasional selepas ini, mereka tahu kerajaan tidak akan memperkecilkan atau menindas kaum Cina, malah kerajaan pasti akan peka dan sensitif akan kepentingan-kepentingan kaum Cina untuk memenangi kembali hati kaum Cina dalam PRU yang akan datang.
Itulah situasi politik yang tidak difahami kaum Melayu, terutamanya pemimpin-pemimpin PAS yang hanya banyak berangan-angan ke Putrajaya. Mereka benar-benar percaya DAP berhasrat ke Putrajaya, dan tidak sedar diri mereka sedang diperkuda oleh DAP. - MySuara
.jpg)
No comments:
Post a Comment